ALOR SETAR (Harian Mega) - Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dikatakan merupakan individu yang sangat rapat dengan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad kerana mereka saling mengenali di bangku sekolah.
“Kami kenal sejak kecil dan jarak usia hanya tiga tahun, jadi hubungan rapat. Antara kisah yang masih saya ingat sampai sekarang adalah masa sekolah terpaksa naik bas bersama Almarhum baginda dari Pulau Pinang, sebab tak ada kereta,” katanya, ketika ditemui hadir di Istana Anak Bukit.
Menurutnya, ketika itu, Almarhum tidak sedikit pun mengharapkan akan memerintah negeri namun siapa sangka baginda ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Agong sebanyak dua kali.
“Baginda komited laksana amanah sehingga tempoh lima tahun berakhir, Almarhum amat mengambil berat masalah negara dan negeri Kedah,” katanya.
Mahathir yang kelihatan sebak berkata, hubungan rapat mereka tidak terjejas walaupun Almarhum ditabalkan sebagai Sultan Kedah, cuma kekangan waktu menyebabkan kurang berjumpa.
“Baginda ada ramai kawan dan sikap mesra itu tetap ada walaupun menjadi pemerintah negeri.
“Almarhum seorang individu yang berperwatakan menarik dan suaranya lembut, kadang sukar nak dengar, perlu rapat untuk dengar dengan jelas,” katanya.
ConversionConversion EmoticonEmoticon