BN Jangan terlalu yakin dengan Tenang

HARIAN MEGA hari ini ingin mengulas kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menyatakan bahawa DUN Tenang merupakan kubu kuat Barisan Nasional. Terlebih dahulu ingin Harian Mega jelaskan di sini ulasan yang dibuat oleh Harian Mega ini tidak langsung berniat untuk memperkecil-kecilkan TPM tetapi sekadar menzahirkan pandangan yang hadir di dalam benak kepala penulis.

Apa yang penulis bimbangkan, terlalu yakin biasanya membawa padah, oleh yang demikian janganlah kita menunjukkan sikap yang terlalu yakin kita boleh mempertahankan DUN Tenang dengan menggunakan alasan Dun Tenang adalah kubu kuat BN. Sikap terlalu yakin ini biasanya akan memakan diri.

Lagipun perlu ingat perjuangan untuk mempertahankan adalah lebih susah daripada perjuangan untuk merampas. Harian Mega percaya pembangkang akan menggunakan strategi yang luar biasa untuk merampas kerusi tersebut daripada tangan BN. BN pun perlu ingat, rakyat tidak akan menyukai pemimpin yang angkuh, di mana kini era pemimpin sentiasa betul sudah pun berakhir.

Lazimnya, sekiranya BN terlalu yakin, sudah pasti jentera-jentera pilihan raya BN membuat kerja pun bagai melepaskan batuk di tangga, yang akan menerima akibat dan padah ialah BN sendiri apabila rakyat menghukumnya semasa PRK Dun Tenang.

Walaupun BN berada di kedudukan selesa ditambah pula Dun Tenang adalah kubu kuat BN makanya jentera-jentera BN haruslah bekerja keras bagi memastikan BN tidak akan kehilangan kerusi DUN Tenang.

Walau siapapun kita, apa pun pangkat kita, apa jua kedudukan kita apa yang penting ialah di dalam kehidupan sehari-hari kita tidak boleh terlalu yakin mahupun terlalu tidak yakin. Besederhana adalah yang terbaik bagi kehidupan kita di dunia yang fana ini. Fikir-fikirkanlah...
Previous
Next Post »

Ngepeng