PUTRAJAYA (Harian Mega)- Enam insentif untuk peneroka dan warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telahpun di umum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Antara insetif tersebut ialah pelupusan hutang, insentif perumahan, bayaran insetif, geran khas serta kewujudan dana khas.
Berita gembira tersebut dikongsi dengan lebih daripada 50,000 penonton termasuk peneroka-peneroka FELDA yang tidak mempedulikan walaupun hujan lebat di Dataran Putrajaya hari ini. Bayaran insentif khas untuk kebajikan warga FELDA sebanyak RM5000 kepada 94, 956 keluarga peneroka yang berkelayakan penuh.
"Dengan jumlah peruntukkan RM 474.78 juta, pembayaran akan mula dibuat pada penghujung Ogos 2017 ini" menurut Najib lantas disambut dengan tepukan gemuruh para peneroka dan warga FELDA sempena sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017 di sini hari ini.
Sebahagian daripada baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holding Bhd dilupuskan selari dengan usaha ke arah tadbir urus dan integriti yang lebih mantap diumumkan Najib sebagai Menteri Kewangan.
"Pinjaman saham FGV yang sedang dibayar oleh seramai 77, 934 peneroka akan dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit" kata Najib lagi.
"Manakala baki 1, 626 peneroka yang telah pun habis membuat pembayaran pinjaman saham FGV akan diberikan ganjaran tunai sebanyak RM 1, 820" tambah Najib lagi.
"Namun bagi mana-mana peneroka yang masih tidak membuat sebarang pembayaran ke atas pinjaman saham FGV ini tidak akan diberika apa-apa insentif" tegas Najib.
Insetif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui FELDA melibatkan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM519 juta turut diumum Najib.
Selain itu, bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM 40, 000 dana khas pelupusan hutang tanam semula turut diwujudkan melibatkan peruntukkan sebanyak RM300 juta bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2017 dan berakhir pada tahun 2021.
"Ini bermakna, jika hutang bagi kos operasi tanam semula adalah berjumlah RM60,000, sebanyak RM20,000 akan dilupuskan menggunakan dana khas ini, menerusi penilaian berdasarkan permohonan yang dihantar dan diluluskan oleh jawatankuasa di peringkat Felda," jelasnya.
Najib juga mengumumkan pembentukan geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020.
"Ini melibatkan keluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.6 juta untuk empat tahun tersebut," katanya.
Bagi menambahkan keceriaan dalam membina keluarga untuk peneroka Felda, Najib turut mengumumkan kelulusan membina lebih satu unit rumah di dalam satu tapak.
Sehingga kini, katanya, terdapat 4,711 peneroka yang mempunyai dua rumah di dalam satu tapak, manakala 70,506 tapak rumah lagi dipercayai sesuai untuk dilaksanakan mengikut kaedah itu.
"Bagi mengatasi masalah rumah generasi baharu Felda pula, Felda dan kerajaan negeri akan bekerjasama bagi meluluskan permohonan pembinaan rumah lebih daripada satu unit di atas satu tapak. Kos pembinaan rumah adalah melalui pembiayaan sendiri," katanya.
Perdana Menteri menegaskan insentif-insentif itu diberikan kepada 94,956 peneroka yang layak penuh iaitu kebun mereka diurus oleh Felda atau menghantar hasil kepada Felda.
Menurutnya, mereka yang bermuafakat bersama Felda itu turut setia membayar hutang-hutang yang didahulukan oleh Felda seperti hutang tanam semula dan pembesaran rumah.
Tambahnya mereka juga turut mencarum di dalam beberapa tabung yang diuruskan Felda seperti tabung tanam semula dan tabung keceriaan kampung.
Dalam pada itu, Najib berkata atas nawaitu (niat) yang mulia dan semangat permuafakatan, buat pertama kalinya, beliau mengumumkan akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan peneroka yang menyaman Felda, untuk kembali bermuafakat bersama Felda.
"Namun begitu, waktu untuk kembali bermuafakat bersama Felda ini adalah bagi tempoh enam bulan, bermula Ogos 2017 dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Felda," katanya.
Najib berkata, bagi peneroka yang kembali bermufakat nanti, mereka layak untuk menerima enam insentif tersebut bermula Februari 2018.
ConversionConversion EmoticonEmoticon