Kegembiraan Berakhir Dengan Tragedi

KEMAMAN (Harian Mega) - Kegembiraan dua pelajar sekolah menengah bertukar tragedi apabila dua pelajar berkenaan ditemui mati lemas di dalam kejadian berasingan di dalam daerah Dungun dan Kemaman hari ini. 

Seorang remaja ditemui lemas di dalam kolam terbiar di Kampung Batu Tiga, dalam kejadian pertama di sini hari ini. 

"Mayat Muhammad Solahuddin Anuar, 14 dijumpai kira-kira jam 10.49 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PDPDA) di dasar kolam berkenaan dan mayat mangsa ditemui di kedalaman dua meter dan diserahkan kepada pihak Polis  untuk tindakan seterusnya. Mangsa difahamkan bersama tiga lagi rakan pergi ke kolam itu untuk mandi-manda" Kata Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azmi Abdul Rahim. 

Dalam kes berasingan, kegembiraan kira-kira 30 remaja berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas ketika mandi di air terjun Chemerung, Dungun, petang tadi.

Mayat Muhammad Fakhrul Ieqbal Mat Yi, 16, dijumpai kira-kira jam 5 petang oleh penduduk kampung.

Menurut rakan mangsa, Muhammad Izzat Mohd Asri, 17, mereka berkonvoi menaiki motosikal untuk ke air terjun itu kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, ketika mandi bersama beberapa rakan yang lain, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ketengah Jaya itu terjun dan selepas itu tidak timbul.

“Selepas tiga minit terjun dia tidak timbul-timbul saya ingatkan dia bergurau kemudian kami semua mencarinya dan selepas setengah jam kami menemuinya di dasar," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat

Previous
Next Post »

Ngepeng