Suspek Kes Cabul bebas dengan ikat jamin

KUALA LUMPUR (Harian Mega) - Lelaki berstatus penduduk tetap yang dicekup selepas dipercayai mencabul kenalan wanitanya di sebuah flat, pada 25 Julai lalu, dibebas dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Suspek sebelum ini direman lima hari sejak 3 Ogos lalu.

"Selepas siasatan dan tempoh reman selesai, suspek dibebaskan dengan ikat jamin polis sebelum menunggu keputusan pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Terdahulu, seorang wanita berusia lingkungan 20-an telah berkenalan dengan suspek di laman sosial Facebook pada 15 Julai

Difahamkan, sepanjang tempoh perkenalan itu, suspek telah berusaha beberapa kali untuk meminta gambar kenalannya itu.

Kemudian, pada 24 Julai, mangsa telah datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk bertemu dengan suspek. Mangsa yang tiba telah pergi ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila mangsa dijanjikan untuk menempatkannya tidur di sebuah sekolah tahfiz.

Bagaimanapun, sangkaan itu meleset apabila suspek telah membawa mangsa ke sebuah flat kira-kira jam 1 pagi. Mangsa telah diarah duduk sebelah suspek sebelum suspek bertindak memeluknya.

Tindakan suspek membuatkan mangsa terkejut lalu menolaknya dan menyembunyikan diri di dalam bilik rumah flat tersebut. Mangsa telah mengunci pintu sehingga awal pagi sebelum melarikan diri kira-kira jam 6.30 pagi dan bergegas pulang ke Pulau Pinang. Tindakan mangsa itu menyebabkan suspek mengugutnya agar tidak bertindak di luar jangkaan. Bimbang dengan ugutan suspek itu, laporan polis telah dibuat mangsa pada Selasa lalu.

Bertindak atas maklumat, suspek telah ditahan kira-kira jam 6.30 petang di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Difahamkan, suspek ini memiliki beberapa kes lampau antaranya rompakan berkumpulan, keganasan rumah tangga, cabul dan menceroboh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Previous
Next Post »

Ngepeng